7 tahun lalu

Teks : Anys Idayu Zakaria
Foto : Carian goggle


14 Ogos 2013. Hari ni genap sudah puteri sulung saya, Fasha Syahiera berusia 7 tahun.  Cepat sungguh masa berlalu. Masih terasa lagi sakitnya sewaktu melahirkan kakak. Bila diingat-ingat pengalaman bersalin pertama yang agak sakit terasa seperti serik melalui pengalaman ini.  Mujur alhamdulillah bersalin kali kedua tahun lalu tidak berapa sakit seperti kali pertama.
 
2 hari lamanya saya ditahan di hospital kerana sakit. Maklum anak pertama tak berapa pandai dan tahu bagaimana sebenarnya sakit yang betul-betul hendak bersalin. Bila terasa sakit pinggang yang amat sangat, saya terus meminta en suami membawa ke hospital. Kebetulan tarikh jangka bersalin lebih kurang seminggu lagi. Ke hospital, bila diperiksa saya terus ditahan wad kata doktor jalan sudah buka 2 cm. Tapi masih ambil masa juga hendak menunggu waktu bersalin. Subhanallah...mula-mula ditahan, bukaan 2 cm.  2 hari juga lamanya saya hendak menunggu begitu lama sekali jalan terbuka. Sakit pinggang tak payah cakap lagi. memang sentiasa terasa sakit.  Habis semua petua saya cuma. Kata orang selalu berjalan dan selalu mandi akan mempercepatkan lagi proses bersalin.  Apa lagi saya jenuh berjalan dan jenuh mandi la di hospital. Saya ditahan hari Sabtu, 12 Ogos 2006.  Jadi hari Ahad masih lagi belum bersalin.  Saya maklumkan pada doktor jika lambat lagi mahu bersalin, esok pagi (Isnin) saya mahu pulang. Malangnya doktor tidak mengizinkan. Selepas membuat pemeriksaan bukaan masih 3 cm.  Saya gesa saja doktor pecahkan air ketuban kerana rasanya sudah tidak tahan benar sakitnya. Sakit pinggangnya sekejap-sekejap seperti sudah mahu bersalin tapi jalan masih belum terbuka. Lantas selepas maghrib Hari Ahad (13 Ogos 2006), selepas membuat pemeriksaan doktor bersetuju untuk pecahkan air ketuban kerana bukaan sudah 4 cm. Berdebar juga rasanya bila sudah ditolak masuk ke labour room.  Sudahlah perut tidak diisi makanan. Saya berdoa saja supaya ada tenaga untuk meneran.
 
Dalam labour room sementara menanti bukaan lebih besar, memang amat sakit. Subhanallah. Istifar sahaja tidak henti. Tepat jam 2 pagi, konstrasi sudah semakin dirasai dan bukaan jalan juga sudah besar dan sudah tiba masanya saya bersalin. Jururawat yang menjaga juga sudah siap bersedia. Ya Allah, memang agak sukar juga tambahan saya tak berapa pandai untuk meneran. Ambil masa lebih kurang 45 minit juga.  Mereka sedaya upaya hendak saya bersalin secara normal.  Memang beberapa kali saya cuba meneran. Tersekat saja di bahu anak.
 
 
Alhamdulillah. Syukur tak terkata tepat jam 2.45 pagi, 14 Ogos saya selamat melahirkan puteri kesayangan. Ya Allah!!  Kata Jururawat di situ tulang punggung saya agak kecil, memang badan saya pun kecil dan kurus saja. Tambahan anak saya besar.  Beratnya 3.75kg. Jadi koyaknya agak besar. Selepas anak keluar, tidak sampai 5 minit saya tanya kepada mereka, kenapa masih terasa sakit. Sama seperti hendak bersalin lagi. Masih ada lagi ke anak dalam perut saya. Kelakar juga soalan tu rasanya.  Tapi disebabkan terlampau sakit saya bertanya terus tanpa berfikir.  Rupanya mereka hendak mengeluarkan uri. Selasai sudah, mereka mahu menjahit koyak pula. Oleh kerana koyak saya agak besar dan ambil masa untuk menjahitnya, beberapa doktor juga datang untuk memeriksa koyak tersebut. Sehinggakan seingat saya lebih kurang 3 doktor yang memeriksa semuanya katakan koyak terlalu besar dan mereka tidak boleh melakukannya kerana mahu serahkan kepada doktor pakar. Mungkin mereka doktor pelatih.  Disebabkan kesakitan masih terasa, jadi saya mohon pada jururawat yang ada untuk bius dan saya mahu tidur sewaktu mereka menjahit koyak tersebut.
 
 

 Saya bersalin 2.45pagi, ambil masa beberapa jam juga untuk mereka menjahit semula koyak tersebut kerana mereka mahu membawa saya ke pakar bius dan bilik bedah.  Lebih kurang selepas subuh baru saya ditolak ke bilik bedah. Saya dibius dan terus tertidur. Mungkin sebab kepenatan yang amat sangat selepas bersalin, tambahan dengan ubat bius tersebut membuatkan saya terlena. Sedar-sedar sudah selesai proses menjahit.  Lama juga rasanya di bilik bedah.  Lebih kurang tengahari baru saya ditolak keluar. Masuk lagi 2 pin air dan 1 pin darah.  Memang dah tak boleh bergerak juga rasanya. Dengan keadaan yang masih lemah kerana darah sudah banyak keluar.  Selepas keluar dan ditolak ke wad barulah saya dapat melihat anak saya.

 
Sehari juga lagi saya ditahan sebelum dibenarkan keluar kerana doktor mahu memeriksa jahitan tersebut.  Saya juga terpaksa menghadiri pisioterapi kerana masalah koyak yang besar tersebut telah menyebabkan beberapa implikasi.  Saya disuruh supaya sentiasa melakukan kemutan supaya proses saya membuang air besar tidak ada masalah. 
 
Syukur alhamdulillah. Saya amalkan pantang dengan betul dan saya ambil geli gamat.  Luka dan jahitan tersebut cepat kering dan sembuh. Terasa juga pobianya mahu bersalin semula. Selepas 6 tahun baru berkeyakinan. Lama juga rasanya kan. Tapi bila diingat semula memang masih terasa kesakitannya.
 
 

Alhamdulillah. Kakak juga membesar dengan sihat. Mama doakan kakak menjadi menjadi anak yang solehah, rajin belajar, taat perintah Allah, jadi orang yang berguna satu hari nanti. Insya Allah.

Comments

Popular Posts